KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, kadar faedah yang diperakui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi urusan pembelian tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah sebanyak 6 peratus setahun.
Saksi kedua pendakwaan, Datuk Sahari Mahadi yang merupakan bekas Ketua Pengarah Penilaian JPPH Shah Alam mengesahkan perkara itu sambil menafikan wujud kadar faedah 7.5 peratus setahun seperti mana didakwa.
"Kadar faedah 6 peratus termasuk dalam harga bagi nilai tanah RM25 sekaki persegi, dan jabatan hanya memperakui dan mempersetujui kadar tersebut (6 peratus) manakala kadar faedah 7.5 peratus bukan dalam perakuan JPPH.
"Harga RM25 bagi sekaki persegi tanah itu bagaimanapun dinilai berdasarkan kos special value (nilai khas) meliputi jumlah faedah kos tanah, kos kewangan dan tempoh bayaran balik (bayaran tertangguh)," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah.
Saksi memberi keterangan dalam perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang didakwa menipu Kerajaan Malaysia kerana tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri bahawa faedah 7.5 peratus adalah faedah tambahan kepada harga pembelian tanah Pajakan Negeri 7324 Lot 67894 berasaskan harga RM25 satu kaki persegi iaitu RM1,088,456,000.
Sedangkan tertuduh tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 kaki persegi telah mengambil kira kadar faedah dan dengan itu dengan curang mendorong Jemaah Menteri membeli tanah daripada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) yang boleh menyebabkan kerajaan menanggung sejumlah kerugian.
Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau turut didakwa mengikut Seksyen 417 kanun serupa atas dua tuduhan pilihan menipu dan memperdayakan Kerajaan Malaysia apabila sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta tersebut.
Liong Sik didakwa melakukan perbuatan itu di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Terdahulu, Sahari menjelaskan nilai tanah RM25 sekaki persegi itu juga telah dipersetujui oleh Kementerian Kewangan mengikut terma yang disahkan oleh JPPH.
Beliau berkata akan berlaku pembayaran lebihan sekiranya kadar faedah 7.5 peratus diambil kira pada harga nilai tanah RM25 sekaki persegi.
Dalam pada itu, Tun Abdul Majid memaklumkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dipanggil sebagai saksi berhubung sepucuk surat bertarikh 29 Jun 2002 yang ditulis Liong Sik kepadanya selaku Perdana Menteri ketika itu.
Surat itu memaklumkan rundingan antara Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dan KDSB telah diadakan berkenaan pembelian tanah berasaskan syarat yang dipersetujui JPPH Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan