Ahad, 22 Mei 2011

S.Y.O.K pecah tradisi RTM



MANTAP. Nama-nama yang cukup sinonim dengan lawak jenaka mewakili setiap zaman (depan, dari kiri), Johan, A. R. Badul, (belakang, dari kiri), Kartina, Adibah, Harun dan Saiful Apek (tengah) bakal menggeletek penonton menerusi sitkom muzikal, S.Y.O.K.


MEMANDANGKAN konsep muzikal masih segar dan galak diterima umum, RTM dengan penuh yakin menerbitkan sitkom komedi muzikal berjudul S.Y.O.K, yang mana ia merupakan muzikal komedi sulung diwujudkan oleh sebuah stesen televisyen.
Selaku pemecah tradisi dalam menerbitkan rancangan sebegitu, rancangan berdurasi satu jam itu membariskan pelawak-pelawak terkemuka tanah air daripada muka-muka lama sehinggalah bakat-bakat baharu.
Idea menerbitkan sitkom muzikal tersebut berakar atas dasar kejayaan rancangan khas S.Y.O.K yang disiarkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri empat tahun lalu.
Penerimaan penonton terhadap rancangan berbentuk komedi muzikal nyata mampu menarik orang ramai untuk terus melekat di hadapan kaca televisyen, justeru, RTM tanpa ragu-ragu menggunakan formula tersebut bagi memberikan penonton setia mereka rancangan hiburan berkualiti tinggi.
Penglibatan nama-nama besar dalam S.Y.O.K seperti Saiful Apek, Harun Salim Bachik, A. R. Badul dan Kartina Aziz mampu membuatkan rancangan tersebut mudah diterima ramai, apatah lagi ia bakal turut digamatkan dengan kehadiran Jep Sepah dan Johan Raja Lawak.
“Rancangan ini merupakan satu kelainan dan menerbitkan rancangan komedi bukan mudah kerana ia perlu sentiasa menampilkan sesuatu yang baharu.”
“Dalam rancangan ini kesemua pelakon perlu melakukan tiga perkara dalam setiap episod iaitu berlakon, menyanyi dan menari dan pada masa yang sama kami perlu mengekalkan momentum jenaka itu agar ia sampai kepada penonton,” jelas Harun Salim Bachik yang terlibat dalam sembilan episod S.Y.O.K.
Pelakon dan pelawak senior itu juga memberitahu S.Y.O.K bukan sekadar rancangan hiburan semata-mata malah setiap episod diselitkan dengan mesej-mesej berguna yang telah disesuaikan dengan konteks masyarakat Malaysia.
Bakal menemui penonton saluran TV1 bermula 27 Mei ini, S.Y.O.K yang membawa maksud Sempoi, Yakin, Optimis, Kelakar itu mengandungi 15 episod dan akan bersiaran setiap Jumaat pada pukul 9 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...